comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan stabil perlu untuk hadapi cabaran global yang semakin kompleks – Zambry Kadir

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Malaysia perlu muncul semula di pentas antarabangsa bagi membina keyakinan pelabur luar.

Untuk itu, sebuah kerajaan yang stabil diperlukan untuk membangunkan semula agenda pembangunan, pertumbuhan dan pemacuan negara dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata demikian susulan tercetusnya pelbagai spekulasi politik yang dimainkan di media sosial melalui usaha ancaman dan gugatan yang bertujuan melihat negara terus berantakan.

“Terdapat pelbagai spekulasi terkini yang cuba dimainkan dalam media sosial oleh kalangan tertentu yang kehilangan kompas politik kestabilan melalui usaha ancaman dan gugatan yang bertujuan melihat negara terus berantakan.

“Sesungguhnya negara mendambakan sebuah kerajaan yang stabil untuk membangunkan semula agenda pembangunan, pertumbuhan dan pemacuan negara dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks, katanya melalui satu kenyataan semalam.

Justeru, beliau yang juga Menteri Luar menyeru segenap lapisan rakyat Malaysia untuk mempertahankan asas kestabilan berkenaan.

Katanya, BN tetap bersama dengan aspirasi rakyat untuk melihat negara aman dan stabil dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang disepakati oleh semua parti.

“BN tetap bersama dengan aspirasi rakyat untuk melihat sebuah negara yang aman dan stabil, dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang disepakati oleh semua parti yang membentuk kerajaan atas asas Kerajaan Perpaduan.

“Seperti yang dihasratkan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Tambahnya, parti itu menyeru semua pihak untuk memberi fokus kepada agenda membangunkan negara dan menolak sebarang politik gugatan.

Beliau turut menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi partinya itu terhadap kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Loading...
Terkini