Oleh: Siti Khadijah Jaafar
BUKIT JALIL: Hubungan kerjasama antara semua parti dalam Kerajaan Perpaduan adalah sangat baik dan kukuh sekali gus menyukarkan cubaan ‘tebuk atap’ selepas setahun pentadbiran.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu sesi dialog Malaysia Madani bersamanya di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
“Percubaan tebuk atap, ada yang kata Ogos, (tapi) saya fikir kita ada kekuatan. Saya berterus terang, tidak timbul masalah, perbezaan pendapat antara parti menyebabkan percubaan pembangkang yang terdesak akan gagal” katanya.
“Saya dalam Jemaah Menteri belum ada sekalipun pertelagahan atas nama perbezaan parti. Insya-Allah kita ada kekuatan sekarang, kita tumpu bukan pertelagahan parti politik, tetapi bagaimana mengangkat martabat negara”.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kejayaan pentadbiran Kerajaan Perpaduan disumbangkan oleh pembentukan pasukan Kabinet yang mantap serta komitmen kepimpinan secara keseluruhannya.
Katanya, pandangan masyarakat bahawa beliau berseorangan mengemudi bahtera kerajaan adalah persepsi semata-mata, sedangkan ada beberapa kejayaan dibuat kementerian tidak membabitkan dirinya secara langsung.
Laporan lanjut menyusul