![](https://media.buletintv3.my/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-13-at-10.11.23-AM.jpeg)
KUALA LUMPUR: Keperluan untuk menggantikan aset strategik keselamatan negara yang usang antara tiga justifikasi utama terhadap keputusan kerajaan membelanjakan RM16 bilion untuk melaksana sewaan helikopter bagi kegunaan pelbagai agensi dan jabatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini berikutan aset helikopter sedia ada dimiliki kerajaan kebanyakannya sudah berusia di antara 12 hingga 32 tahun.
Katanya, aset ini digunakan untuk pelbagai jenis peranan dan tugas strategik seperti, ‘search and rescue’, ‘medical ambulance’, kawalan keselamatan, logistik, misi kemanusiaan dan ketenteraan.
“Keperluan perkhidmatan ini semakin meningkat menyebabkan aset-aset sedia ada digunakan secara berlebihan biarpun sudah usang. Situasi ini meningkatkan risiko keselamatan kru pesawat.
“Tambahan pula penyahtauliahan pesawat Sikorsky S-61A-4 atau lebih dikenali sebagai Nuri oleh ATM pada 2020 sudah mewujudkan satu jurang dari segi bilangan helikopter fleet ATM dan menambah kepada beban penugasan helikopter sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, justifikasi kedua kepada inisiatif sewaan aset itu adalah untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan fleet helikopter sedia ada.
“Merujuk kajian bertajuk Aircraft Acquisition Conceptual Framework dibuat Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan diterbitkan dalam jurnal Asian Social Science, Volume 13 Nombor 4 pada2017, tahap kesiapsiagaan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di antara 2011 dan 2015 hanya berada pada tahap 43 peratus berbanding keperluan 70 peratus minimum yang ditetapkan,” katanya.
Justifikasi ketiga pula kata beliau, untuk mengurangkan beban fiskal kerajaan, berikutan antara 2020 hingga 2024, lima insiden kejatuhan helikopter milik kerajaan telah memberi impak besar khususnya kepada tanggungan kewangan kerana aset-aset ini terpaksa dihapus kira.
“Perbelanjaan modal (capex) untuk menggantikan aset-aset ini secara konvensional akan membebankan fiskal negara,” katanya turut menjelaskan menerusi sewaan helikopter ini, kerajaan dapat mengoptimumkan perbelanjaan dengan mengagihkan beban kos secara lebih mampan sepanjang tempoh 15 tahun.
Selain itu katanya, inisiatif sewaan ini juga membolehkan kerajaan menerima perkhidmatan yang merangkumi penyelenggaraan, perlindungan insurans dan latihan untuk seramai lebih daripada 1,300 anggota di sepanjang tempoh konsesi ini berjalan.
“(Selain itu) dijamin tahap ketersediaan fleet pesawat untuk kesemua agensi pengguna ke tahap minima 85 peratus serta diberi pilihan untuk membeli pesawat-pesawat ini pada harga nominal RM1 pada setiap pesawat pada akhir tempoh konsesi,” katanya.
Dalam pada itu, Azalina juga berkata, melalui inisiatif sewaan ini, kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang kos dalam fasa pembekalan helikopter, malah segala kos timbul dalam tempoh masa itu termasuk kos-kos latihan bagi kru penerbangan akan dibiayai oleh syarikat konsesi sehingga aset itu diterima kerajaan.
“Projek pajakan helikopter ini melibatkan 28 unit helikopter pelbagai model yang lengkap dengan peralatan misi mengikut keperluan khusus agensi pengguna seperti Pasukan Udara Tentera Darat, TUDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pendekatan pajakan sebegini juga adalah amalan biasa bagi pengurusan aset strategik dan keselamatan di negara maju seperti Perancis, Kanada dan United Kingdom,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.