Tumpuan :
Nasional

Kerajaan setuju pinda RUU berkaitan MyDigital ID

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail – Foto fail NSTP

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melakukan pindaan Akta Pendaftaran Negara 1959 bagi membolehkan penggunaan MyDigital ID.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan perkara itu bagi memastikan peningkatan penggunaan aplikasi kerajaan pada masa akan datang.

“Cuma bila nanti MyDigital ID nak digunakan, kerajaan telah bersetuju supaya pindaan itu dibuat bagi maksud memasukkan seksyen untuk membolehkan transaksi menggunakan MyDigital ID itu diperakukan.

“Keputusan dasar sudah dibuat..kami sekarang di peringkat gubal rang undang-undang. Dengan cara itu, tujuan akhirnya supaya dapat meningkatkan penggunaan aplikasi kerajaan dengan dibantu MyDigital ID,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Inovasi Pendaftaran Negara (AIPN) 2024 di Jabatan Pendaftaran Negara di sini.

Tambahnya, dalam Mesyuarat Majlis Digital Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dicadang untuk melakukan pra-pendaftaran MyDigital ID.

“Maknanya JPN wujudkan dulu kemudian dia ‘notify’ kepada rakyat kita. Setiap rakyat akan dapat..yang sudah daftar, sudahlah. Ia akan menjalani proses e-kyc untuk pengesahan identiti.

“Saya telah memaklumkan kepada kepada Ketua Pengarah JPN untuk teliti semua proses kerja, akta, peruntukan undang-undang. Dari sudut pendaftaran, kita tiada masalah dengan Akta Pendaftaran Negara,” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini