PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini bersetuju secara dasar untuk meminda Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah bagi menangani isu buli siber.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata rang undang-undang (RUU) berkaitan pindaan berkenaan akan dibawa ke mesyuarat Parlimen kali ini.
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini meluluskan secara dasar, siri pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah berkaitan isu buli siber.
“Selain itu, (kerajaan juga bersetuju untuk membawa) satu undang-undang yang dinamakan RUU Keselamatan Dalam Talian atau ‘Online Safety Act’,” katanya pada sidang media pascamesyuarat Jemaah Menteri, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, dapatan kajian oleh kerajaan menunjukkan tidak ada takrifan tepat bagi jenayah buli, termasuk buli siber.
Justeru, beliau berkata, pindaan yang akan dilaksanakan itu bertujuan menutup kelompongan undang-undang terbabit atau lebih dikenali sebagai ‘lacuna in the law’.
“Secara ringkasnya, pindaan terhadap undang-undang ini bertujuan memastikan keseluruhan Internet kita menjadi lebih selamat, terutama untuk kanak kanak dan keluarga.
“Saya tegaskan secara keseluruhan, ini adalah langkah yang kita perlu ambil bagi menutup kelompongan (dalam undang-undang terbabit)… untuk kita mengambil tindakan lebih tegas terhadap mereka yang (melakukan) buli siber,” tambahnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.