Tumpuan :
Nasional

Kerajaan setuju beri potongan tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini bersetuju memberi potongan tol sehingga 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan berkata, keputusan ditetapkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini, membabitkan implikasi kewangan ditanggung kerajaan berjumlah RM20.08 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.

Beliau berkata, potongan tol akan dilaksanakan bermula pada jam 12.01 tengah malam 27 Januari (Isnin) dan berakhir jam 11.59 malam 28 Januari bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja.

Katanya, ia dilaksanakan di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

“Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember lalu.

“Namun mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina.

“Ia selaras agenda kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung kedudukan kewangan kerajaan yang kukuh hasil program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan.

“Pemberian ini adalah kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang sekian kalinya diberikan Kerajaan MADANI bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023,” katanya.

Sejak 2023, Alexander berkata, kerajaan membelanjakan RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan tol percuma musim perayaan hingga tahun lalu.

Beliau berkata, semua pengguna lebuh raya diharap memanfaatkan pengurangan kadar tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan bagi mengelak kesesakan lalu lintas semasa cuti panjang ini.

Pengguna turut disaran menyemak status trafik semasa atau insiden di lebuh raya yang dikemas kini melalui media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia, di aplikasi X (@LLMtrafik) serta di TikTok (@llmtrafik).

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan sedang memperincikan pendekatan lebih bersasar untuk pemberian tol percuma pada musim perayaan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu selaras usaha penyelarasan subsidi sebelum ini, yang menumpukan bantuan kepada golongan B40 dan M40, tanpa membabitkan semua pihak secara menyeluruh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini