Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Penggiat industri digesa agar lebih aktif bekerjasama dengan kerajaan bagi memperkasakan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pendekatan itu bagi memastikan padanan antara penawaran dan permintaan dibuat secara komprehensif.
“Input daripada pihak industri yang konsisten mencakupi aspek kuantiti dan kualiti tenaga kerja yang diperlukan adalah amat penting dan kritikal.
“Ketepatan input ini kemudiannya disusuli dengan pembangunan kurikulum dan pelaksanaan program-program yang bersesuaian oleh institusi TVET kukuh amat signifikan dalam memastikan padanan antara penawaran dan permintaan dibuat secara komprehensif,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) dan Anugerah Tokoh Mahir (ATM) di sini, hari ini.
Tambah Fadillah, kerjasama lebih aktif antara pihak industri dan kerajaan berupaya memastikan institusi TVET menawarkan program lebih berkualiti dan relevan dengan keperluan pasaran.
Ujarnya, jalinan kerjasama erat bersama pihak industri dapat mewujudkan tenaga kerja pakar baharu untuk menguasai kesan limpahan sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
Pada majlis itu, Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri kepada Misto Mikin bagi kategori pelajar.
Manakala kategori pengajar, dimenangi oleh Muhammad Muhyiddin Mohamad Ibrahim.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.