SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengecam tindakan menahan jasad bayi meninggal dunia selama dua minggu berikutan ibu bapa bayi gagal menjelaskan bil hospital lebih awal seperti dilaporkan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Anfaal Saari, akan berhubung dengan pihak berkaitan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes terbabit.
“Saya akan mendapatkan maklumat lanjut dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Keperluan lanjutan akan diberi (kepada keluarga bayi) selepas perincian kes dikenal pasti dan saya juga akan menziarahi keluarga bayi berkenaan.
“Kita mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan itu,” katanya memetik laporan BH, hari ini.
Semalam, media melaporkan perkongsian Unit Khas Van Jenazah (UKVJ) di media sosial sejak Isnin lalu, berhubung pengurusan jenazah bayi lelaki yang didakwa dilahirkan tidak sempurna.
Menerusi perkongsian di Facebook Mr Wan Cai Official, pihaknya terpaksa menggunakan air panas bercampur air paip untuk memandikan jenazah bayi lelaki yang dinamakan Adham selepas mayatnya disimpan di peti sejuk sebuah hospital swasta selama dua minggu.
Ia susulan ibu bapa arwah mangsa yang didakwa gagal menjelaskan bil hospital lebih awal.
Menurut hantaran itu, bayi yang dilahirkan pada 24 November lalu tanpa sebelah mata dan hidung serta tiada lubang dubur, dikatakan meninggal dunia beberapa minit selepas dilahirkan.
Bil yang sepatutnya dibayar kepada pihak hospital dianggarkan dalam RM3,600 dan dijelaskan bapa mangsa jam 11 pagi semalam, sekali gus membolehkan jenazah diuruskan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.