Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia untuk meneliti keperluan untuk mewujudkan sebahagian rangkaian 5G khusus untuk kegunaan pihak agensi keselamatan khususnya Polis diRaja Malaysia (PDRM).
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu pernah dibincangkan oleh pihak industri dan terdapat juga permintaan untuk menggunakan kemudahan berkenaan daripada syarikat swasta.
“Sebenarnya, yang saya sebutkan itu dia adalah salah satu ciri-ciri 5G, yang mana satu bahagian spektrum yang terjamin bagi rangkaian 5G untuk kegunaan persendirian.
“Terdapat permintaan daripada industri yang mahukan pendekatan dwi-rangkaian. Beberapa pendekatan telah diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan mengkaji sebahagian spektrum rangkaian yang selamat untuk agensi seperti PDRM, boleh direalisasikan.” Katanya ketika ditemui media selepas menjadi panel pada forum Mengukuhkan Masa Depan: Memanfaatkan Teknologi 5G untuk Memperkukuh Keselamatan Negara.
Tambahnya, rangkaian 5G persendirian itu juga sudah banyak digunakan di negara luar.
“Ia boleh digunakan, rangkaian 5G yang mana jalur lebarnya dikhususkan untuk organisasi tersebut. Ia tidak semestinya hanya untuk kegunaan penguatkuasa undang-undang, boleh juga digunakan oleh mana-mana industri atau syarikat.
“Jadi, di negara-negara lain, perusahaan swasta telah dapat memanfaatkan rangkaian 5G tempatan mereka, terutamanya untuk apa yang dikenali sebagai Internet of Things (IoT), untuk mengumpul data dari pelbagai peranti dan sensor di dalam kawasan premis.” Jelasnya.
Fahmi turut meninjau reruai dalam Pameran Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25).
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.