Tumpuan :
Nasional

Kerajaan sedia pertimbang pembenihan awan padam kebakaran ladang kelapa

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi bin Nik Ahmad (tengah) meninjau ke kawasan kebakaran hutan ladang kelapa di Jalan Pintasan Kuantan-Sungai Ular Gebeng, Kuantan.- FOTO: NSTP

KUANTAN: Kerajaan sedia mempertimbang cadangan melaksanakan pembenihan awan bagi membantu memadamkan kebakaran ladang kelapa di belakang Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) Gebeng di sini yang berlarutan sejak 22 Februari lalu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, bagaimanapun pelaksanaan itu perlu mengikut prosedur termasuk perbincangan dengan Jabatan Meteorologi (METMalaysia).

Katanya, pelaksanaan tidak boleh dilakukan tiba-tiba kerana ia memerlukan penelitian sama ada awan itu sesuai untuk melaksanakan proses pembenihan berkenaan.

“Kita juga akan mendapatkan pandangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan langkah terbaik bagi operasi pemadaman,” katanya selepas meninjau keadaan semasa kebakaran ladang kelapa yang memasuki hari ke-12, hari ini.

Ditanya Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan yang diadakan di Kuala Lumpur semalam, Nik Nazmi berkata ketika ini cuaca di negara ini beralih kepada panas dan kering berbanding Monsun Timur Laut (MTL) sebelum ini.

Katanya, mesyuarat itu membincangkan dan mengumpul maklumat terkini mengenai status kualiti udara dan menyelaraskan usaha membabitkan pelbagai kementerian dan agensi termasuk kerajaan negeri.

“Kita lihat taburan hujan berkurangan kerana kita berada pada fasa akhir MTL. Bagi kebakaran ladang kelapa di sini, ia terbesar tahun ini.

“Kita lihat bacaan Indek Pencemaran Udara (IPU) juga mencecah lebih 250 ketika puncak dan kebakaran ini sudah memasuki hari ke-12.

“Dengan kerjasama semua pihak yang sedang bertungkus lumus dalam keadaan cuaca kering dan anggota yang berpuasa sebagai cabaran buat anggota,” katanya.

Sejak 22 Februari lalu, kebakaran kawasan ladang kelapa terbabit meningkat kepada lebih kepada 130 hektar dan setakat ini, seluas 98 hektar berjaya dipadamkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini