Tumpuan :
Nasional

Kerajaan sedang bincang penghantaran pulang warga Palestin

Oleh: Siti Khadijah Jaafar.

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang membincangkan penghantaran pulang semula rakyat Palestin ke negara itu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, ketika ini Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan sedang berhubung dengan kerajaan Mesir berkenaan perkara itu.

“Jemaah menteri telah dimaklumkan beberapa perbincangan koordinasi sedang dilakukan kementerian luar dan juga kementerian pertahanan untuk berhubung dengan kerajaan mesir untuk mengusahakan penghantaran pulang warga palestin”.

“Tapi proses ini sedang berjalan dan masa yang sama segala perkhidmatan perubatan yang diberi akan terus disediakan dan pihak kerajaan mengambil serius dari segi kebajikan bagi mereka yang telah dibawa untuk tujuan perubatan di malaysia,” katanya ketika sidang media di sini.

“Saya jelaskan ia melibatkan dan akan diselaraskan oleh kementerian luar dan kementerian pertahanan, maka kita serahkan untuk diselaraskan dan diuruskan perbincangan tu diteruskan sama ada akhirnya dihantar pulang melalui mesir ataupun melalui negara lain ini akan dimaklumkan kemudian”.

Isnin lalu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, insiden kekecohan melibatkan warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) baru-baru ini akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bagi tindakan lanjut.

Insiden yang tular di media sosial itu dikatakan berpunca daripada keinginan mereka untuk mempercepatkan proses kembali ke Palestin.

Ia adalah kejadian kedua, dengan yang pertama berlaku pada Oktober tahun lalu.

16 Ogos lalu, Malaysia membawa 127 warga Palestin termasuk 41 pesakit yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza, ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, manakala saudara-mara lain ditempatkan di WTKL.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini