
SERDANG: Kerajaan serius dalam melaksanakan transformasi digital negara dan ingin memastikan rakyat menyedari sepenuhnya inisiatif berhubung perkara itu sekali gus menjadi celik digital serta celik kecerdasan buatan (AI), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri turut berharap universiti di negara ini dapat memastikan semua pelajar tanpa kecuali mengikuti Program AI selama 4 jam hingga hujung tahun ini.

“Saya tekankan untuk perkhidmatan awam, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan jangan tunggu bulan Februari.
“Dalam tempoh beberapa hari mesti ada usaha memperkenalkan AI kepada semua pelajar supaya dapat dibuktikan unjuran agar semua pelajar dan penjawat awam iaitu satu juta dapat (dilakukan) dalam satu tahun,”
Beliau berucap pada Majlis Peluncuran Program ‘Kecerdasan Buatan AI Untuk Rakyat’ di Universiti Putra Malaysia UPM, Serdang, Selangor.
Semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Naib Canselor turut diarah untuk menghantar laporan berhubung penglibatan penjawat awam dan pelajar dalam program berkenaan.
Ia bagi memastikan semua pihak khususnya para pelajar dapat menyertai program yang bertujuan meningkatkan pemahaman dan kesedaran orang ramai terhadap AI.