Tumpuan :
Nasional

Kerajaan sasar jadi pengeluar nombor 1 getah dalam tempoh 10 tahun

Foto hiasan

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

BANGI: Kerajaan menyasarkan untuk kembali menjadi pengeluar getah nombor satu dunia dalam tempoh 10 tahun.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beberapa kaedah perlu dilaksanakan untuk mencapai matlamat berkenaan.

“Saya fikir dalam tempoh 10 tahun kita boleh melakukannya oleh kerana kita ada 800,000 hektar (kawasan penanaman getah), 400,000 perlu ditanam semula.

“Jadi penanaman semula mesti menggunakan baka yang baik dan kaedah automasi bagi penorehan, kaedah pengumpulan dan juga memperbanyakkan lagi depoh untuk lateks,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Konvensyen Pegawai Lapangan RISDA Tahun 2025 di sini hari ini.

Tambahnya, penjualan kayu terawat daripada pokok getah yang ditebang juga dijual pada harga yang lebih tinggi sekali gus membantu merancakkan sektor getah.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, cadangan menjadikan RISDA sebagai pembeli tunggal hasil getah daripada pekebun kecil akan dibentangkan dalam mesyuarat jemaah menteri dalam tempoh dua bulan.

Katanya, cadangan itu perlu dilaksanakan bagi membela nasib pekebun kecil selain dapat menggunakan hasil bahan mentah yang dikeluarkan secara holistik.

“Dalam tempoh dua bulan ini saya akan membentangkan kepada mesyuarat jemaah menteri bagi mendapatkan persetujuan untuk RISDA menjadi pembeli tunggal (getah daripada pekebun kecil).

“Oleh yang demikian kolaborasi juga boleh dilakukan untuk menentukan peningkatan harga getah dan juga pengeluaran lateks dapat dipertingkatkan kerana kita terpaksa mengimport lateks dengan nilai RM6 bilion setahun sedangkan kita adalah pengeluar.

“Langkah baharu ini adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan untuk kita membela nasib pekebun-pekebun kecil yang terpaksa bergantung kepada harga lantai yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam ucapan belanjawan setiap tahun,” katanya.

Jelas beliau, majoriti pasaran getah nasional dikuasai oleh pekebun kecil RISDA iaitu sebanyak 89% manakala hanya 11% oleh ladang-ladang besar.

Justeru katanya, angka itu dapat menjadi faktor untuk menentukan harga pasaran tersendiri dan tidak bergantung kepada harga pasaran semasa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini