comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan salur RM1 juta bantu Palestin

FOTO AFP

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyalurkan RM1 juta menerusi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang dikendalikan Kementerian Luar.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemberian bantuan itu adalah tindakan segera Malaysia untuk membantu rakyat Palestin yang sedang dizalimi rejim zionis.

“Sebagai tanda solidariti saya menyeru Ahli Yang Berhormat yang berada di luar dan dalam dewan ini untuk turut sama-sama menghulurkan sumbangan dalam tabung yang disediakan di luar dewan atas persetujuan Speaker. Saya harap tabung itu dapat diisi dan hasil kutipan kita serahkan kepada Kementerian Luar,” katanya ketika menggulung ucapan perkembangan semasa konflik Palestin-Israel melalui Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Zahid berkata, kerajaan akan menggesa kesemua badan serantau dan antarabangsa untuk mengadakan Sidang Mesyuarat khas dengan segera membabitkan konflik Palestin-Israel.

“Sidang Mesyuarat khas itu akan dilakukan secara konsisten dan pada setiap masa, bukan hanya setelah konflik berdarah tercetus. Ia akan digerakkan di setiap platform, lapangan, keadaan dan masa,” katanya.

Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Dewan Rakyat atas sokongan padu dan solidariti diberikan dalam isu Palestin.

“Amat jelas suara-suara keramat yang dilontarkan tadi oleh Indera Mahkota, Ledang, Muar, Machang, Kinabatangan, Ipoh Timur, Pendang, Sik, Alor Setar, Kangar, Jelutong, Ayer Hitam, Hulu Langat, Tampin, Sri Gading, Pasir Puteh dan Pasir Mas, menunjukkan Ahli Dewan semua bersatu hati, senada dan satu suara,” katanya.

Tegasnya, Dasar Luar Malaysia mengenai isu Palestin adalah jelas dan konsisten serta tidak akan berubah selagi hak mutlak Palestin tidak dikembalikan.

Katanya, Malaysia juga tidak akan menormalisasikan hubungan dengan Israel.

“Konsistensi ini adalah jelas dan tidak berubah termasuk sewaktu Yang Berhormat (YB) Indera Mahkota menerajui Kementerian Luar Negeri. Begitu juga dengan kecaman ke atas rejim Zionis yang mengamalkan dasar apartheid, jika diamati, setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh Malaysia adalah konsisten mengecam rejim Zionis sebagai pengamal dasar apartheid,” katanya.

Tambahnya, jika dunia bersatu hati dan bersepakat menghapuskan dasar apartheid di Afrika Selatan, mengapa dan kenapa pendekatan yang sama tidak boleh dibuat ke atas rejim Zionis?

“Ini yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setiap kali mengenai dasar berat sebelah dan tidak adil oleh kuasa-kuasa barat,” katanya.

Terdahulu, pada awal sesi penerangan, Zahid, berkata Malaysia kekal berpendirian bahawa rakyat Palestin perlu dikembalikan hak mutlak bebas daripada pendudukan haram Israel, dikembalikan tanah yang dirampas dan hak membentuk negara yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Katanya, perjuangan membebaskan tanah dan hak rakyat Palestin akan tetap menjadi salah satu tunjang keutamaan dasar luar kerajaan Malaysia.

Sementara itu, Zahid turut menyarankan semua pihak menggunakan #SolidarityForPalestine di media sosial masing-masing.

“Insya-Allah hari Jumaat ini kita tidak memerlukan mana-mana parti politik atau mana-mana pertubuhan menganjurkan perhimpunan menyokong Palestin. Kita bersama-sama untuk turun bagi mendukung perhimpunan Palestin,” katanya.

Loading...
Terkini