comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan salur lebih RM936 juta tuntutan MySalam sejak 2019 hingga Disember 2023

Oleh: Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyalurkan tuntutan lebih RM936 juta kepada 1.27 juta orang penerima manfaat MySalam sejak tahun 2019 hingga Disember 2023.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, tahun 2022 pula mencatatkan pembayaran tuntutan tertinggi iaitu RM382 juta.

“Berdasarkan rekod skim MySalam dari tahun 2019 sehingga Disember 2023 sebanyak 1.27 juta orang telah menerima manfaat di bawah skim MySalam dengan jumlah tuntutan sebanyak RM936.12 juta.

“Ia telah dibayar kepada penerima manfaat melibatkan tuntutan hospitalisasi, penyakit kritikal dan Cobid 19 dan tuntutan kos peranti perubatan.

“Tahun 2022 mencatat pembayaran tuntutan paling tinggi iaitu sebanyak RM382 juta yang memanfaatkan 650,000 penerima. Diikuti tahun 2021 tuntutan sebanyak RM246.72 juta 365,000 penerima.” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Dr Lingeshwaran R Arunasalam di Dewan Negara yang mahu mengetahui jumlah pampasan yang dibayar kerajaan kepada masyarakat di bawah skim itu.

Jelasnya bagi tahun ini dianggarkan lebih 10.92 juta rakyat Malaysia yang terdiri daripada golongan B-40 layak menerima manfaat skim MySalam.

“Berdasarkan pecahan penerima yang layak mengikut negeri, Selangor mencatatkan jumlah penerima layak paling tinggi iaitu 1.48 juta, Johor 1.43 juta  dan Sarawak 1.13 juta. Manakala penerima layak bagi Kelantan 825 ribu orang.” katanya.

Skim MySalam telah dilanjutkan pelaksanaannya bagi tempoh 2 tahun bermula 2024 hingga akhir 2025 selaras dengan pengumuman belanjawan 2024.

Bagi pelaksanaan MySalam pada masa akan datang Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia sedang meneruskan usaha untuk membincangkan pelaksanannya dengan pengendali takaful dan penanggung insurans berlesen lain bagi mempelbagai skim perlindungan dalam pasaran bagi memenuhi keperluan B40.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini