comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan salur bantuan kepada mangsa banjir di Kedah

Foto fail NSTP

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kedah.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, penyaluran BWI itu akan disalurkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri Kedah.

Susulan bencana banjir yang melanda beberapa daerah di negeri itu juga, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menyalurkan Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) sebanyak RM1,000 kepada setiap KIR.

“Penyelarasan bantuan adalah melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah yang terbabit.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua individu yang terbabit untuk mematuhi setiap arahan pihak berkuasa jika diarah berpindah ke PPS.

Katanya, kegagalan untuk berpindah ke PPS atau mematuhi prosedur yang diarahkan akan menyebabkan mangsa tercicir daripada senarai penerima bantuan kerajaan.

Tambahnya, anggota polis akan ditempatkan di setiap PPS untuk memudahkan mangsa membuat laporan.

Selain itu beliau memaklumkan, PKOB Ngeri dan PKOB Daerah akan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh bencana untuk memantau dan mengawasi keadaan dari masa ke masa.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa untuk mengawasi anak-anak bagi mengelak sebarang kejadian yang boleh mengakibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini