comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerajaan salur bantuan kepada keluarga mangsa – PM

 

Oleh Fahiz Ariff

KLANG: Kerajaan akan menyalurkan bantuan untuk membiayai sebarang kos termasuk urusan pengurusan jenazah kepada keluarga mangsa tragedi pesawat terhempas di Lebuh Raya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam, semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan berkenaan akan melibatkan semua pihak termasuk kerajaan pusat, kerajaan negeri dan agensi-agensi kerajaan.

Artikel berkaitan: Pesawat tiada Perakam Data Penerbangan – KPN

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menenangkan ahli keluarga mangsa pesawat terhempas semasa menziarahi mereka di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) hari ini. – Foto: NSTP/Aswadi Alias.

“Sekarang ini kita bagi semua bantuan diperlukan untuk uruskan jenazah, termasuk kelengkapan, penginapan dan sebagainya.”

“Selain itu, kerajaan akan bagi bantuan kepada keluarga terutama yang tidak mempunyai pekerjaan yang tetap,” ujar beliau ketika ditemui wartawan di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini hari ini.

Tambah beliau, fokus utama ketika ini adalah menyegerakan proses bedah siasat dan mengenal pasti identiti mangsa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang hari ini. – Foto: NSTP/Aswadi Alias.

Malah, beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih dan berbangga dengan semua pihak yang terlibat dalam pengurusan nahas pesawat.

“Alhamdullilah syukur, keselamatan daripada agama, forensik hospital, kemudian beberapa badan kebajikan lain daripada kerajaan persiapan penginapan semua diurus dengan cekap dan saya bangga dengan reputasi itu,” kongsi beliau.

Terdahulu, Perdana Menteri tiba di HTAR untuk meluangkan masa bertemu waris mangsa nahas pesawat itu.

Ketibaan beliau pada jam 12.55 tengah hari disambut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Turut hadir juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Loading...
Terkini