comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan rangka pelan pulihkan 420,000 hektar tanah getah terbiar

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka pelan bagi menyatukan dan memulihkan tanah getah agar dapat diusahakan kembali, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.

Beliau berkata pemulihan dan usaha pengeluaran di kawasan 420,000 hektar tidak bertoreh pada tahap optimum boleh menghasilkan sekitar 585,000 tan metrik setahun, seterusnya mengurangkan import getah asli dan mengelakkan pengaliran keluar mata wang negara.

“Program ini kelak, diusahakan dengan kerjasama agensi seperti Lembaga Getah Malaysia, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Felda, Felcra, ladang milik kerajaan negeri dan semua pihak berkepentingan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) yang ingin tahu langkah dan usaha kementerian dalam menguruskan tanah terbiar dan usang getah milik pekebun kecil berkeluasan kira-kira 420,00 hektar yang dikesan diseluruh negara.

Chan berkata bagi melaksanakan program ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta melalui Belanjawan 2025.

“Peruntukan ini bertujuan memulakan program konsolidasi termasuk kos pemulihan ladang terbiar, penyediaan infrastruktur asas seperti jalan ladang dan pusat pengumpulan getah, penyediaan peralatan penorehan serta latihan kepada pekerja tempatan dan asing.

“Selain itu, dana ini juga akan digunakan untuk pembangunan kluster getah yang strategik dan penambahbaikan sistem logistik serta fasiliti penyimpanan, dengan harapan untuk meningkatkan produktiviti dan pulangan kepada pemilik tanah serta pekebun kecil,” katanya.

Beliau berkata kementerian mengakui keadaan dan kedudukan semasa sektor getah yang menunjukkan trend menurun di peringkat huluan (pengeluaran).

“Malaysia kini adalah negara pengeluar getah asli kelapan di dunia.

“Pada 2023, Malaysia mengimport sebanyak 1.002 juta tan getah asli bernilai RM5.73 bilion untuk memenuhi keperluan sektor pemprosesan dan pembuatan tempatan. Malaysia adalah pengimport bersih getah asli,” katanya.

Beliau berkata sehubungan itu langkah yang diambil kerajaan dapat mengurangkan import getah asli dan mengelakkan pengaliran keluar mata wang negara.

— BERNAMA

Loading...
Terkini