Tumpuan :
Nasional

Malaysia larang kapal guna bendera Israel berlabuh – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PETALING JAYA: Kerajaan hari ini memutuskan untuk tidak lagi menerima kapal menggunakan bendera Israel berlabuh di negara ini.

Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini menegaskan Malaysia juga mengenakan larangan kepada mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia.

”Kedua-dua sekatan ini berkuatkuasa serta-merta,” tegasnya.

Menurut kenyataan itu, kerajaan turut memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat ini berkuatkuasa serta merta.

”Sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin,” tegas beliau.

Untuk rekod, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat berkenaan berlabuh di Malaysia.

Pada 2005, Kabinet ketika itu memberi kebenaran kepada kapal terbabit untuk mendarat di Malaysia.

”Namun, Kerajaan hari ini memutuskan untuk membatalkan semua keputusan Kabinet lalu,” jelas beliau.

Perdana Menteri berkata, Malaysia yakin keputusan itu tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan negara ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini