Tumpuan :
Nasional

Kerajaan pusat sedia bantu tangani isu air tercemar

Oleh Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

PUTRAJAYA: Dalam usaha memastikan kapasiti bekalan air bersih terawat di Selangor terutamanya di Lembah Klang terus mencukupi termasuk menoktahkan isu sumber air tercemar, kerajaan pusat bersedia bekerjasama membantu kerajaan negeri untuk menangani masalah itu.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau sudah bertemu Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari bagi membincangkan hal tersebut.

“Antara perkara yang kita bincangkan, Selangor minta sokongan dari kerajaan persekutuan adalah tentang soal pertama adalah menambah margin air untuk negeri Selangor sebab dia berkaitan. Bila ada pencemaran dia ada impak besar sekarang sebab margin air di Selangor itu agak rendah secara relatifnya. Itu satu perkara yang penting.”

“Kedua adalah bagaimana menjaga atau penguatkuasaan lembangan-lembangan sungai, itu juga satu perkara yang penting,” katanya ketika diminta mengulas berkenaan isu kehadiran ammonia dalam air di Sungai Selangor.

Tambahnya, pihaknya menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara bersama kerajaan negeri akan bekerjasama membantu inisiatif itu.

“Kerajaan negeri juga sedar tentang perkara tersebut dan menerusi SPAN kita akan tengok apa yang boleh kita bekerjasama untuk membantu inisiatif itu.”

“Mereka ada menyatakan beberapa wishlist tentang loji air, ada yang dalam proses pembikinan dan ada juga dalam cadangan. Ada yang termasuk itu kita letak dalam senarai keutamaan di peringkat kerajaan pusat.” ujarnya.

Sementara itu, Lembaga Urus Air Selangor LUAS dalam satu maklum balas ringkas memaklumkan, paras Ammonia terkini di bawah paras 1.5 miligram per liter dibawah Had Piawai Kualiti Air Mentah Kebangsaan, KKM dan tidak menjejaskan operasi Loji Rawatan Air (LRA).

Sebelum ini, pengurusan Air Selangor mengesan masalah kualiti air mentah berpunca daripada peningkatan ammonia dalam air mentah di LRA utama negeri pada 2 Februari lalu.

Loading...
Terkini