KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi menganggarkan Perbelanjaan Pembangunan Sementara yang diperuntukkan kepada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) adalah sebanyak RM20.77 juta.
Menterinya, Rafizi Ramli, berkata jumlah itu hanya membabitkan kategori projek sambungan bagi kerja infrastruktur dan pembinaan kilang perindustrian.
Beliau berkata, keseluruhan anggaran Perbelanjaan Pembangunan Tahun 2023 akan diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Februari ini.
Rafizi menjelaskan, kerajaan memperuntukkan RM885.12 juta kepada PKEN sepanjang tempoh 2018-2022 dan jumlah itu menunjukkan trend peningkatan setiap tahun.
“Sebahagian besar peruntukan ini disalurkan untuk projek pembangunan, terutamanya pembangunan infrastruktur, pembangunan hartanah dan industri kepada negeri yang terbabit,” katanya menerusi jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Chow Kon Yeow (PH-Batu Kawan), mengenai dasar dan pendekatan kerajaan untuk terus memperkasakan PKEN bagi memacu pertumbuhan ekonomi setiap negeri serta perincian projek dan program yang dilaksanakan atau dirancang berserta kos bagi setiap negeri sejak 2018 hingga 2023. – BERNAMA