comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan peruntuk RM5 juta laksana operasi pembenihan awan di Kelantan mulai Jumaat ini

Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) di Kelantan selama tiga hari pada Jumaat ini hingga 23 Jun ini dengan peruntukan RM5 juta.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, operasi berkenaan susulan permohonan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berikutan penyusutan paras air Sungai Kelantan yang menjejaskan kawasan pertanian ketika ini.

“OPA adalah tindakan awal yang dilakukan Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan dan menangani impak fenomena cuaca panas serta Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September 2024.

“Malah, taburan hujan yang rendah yang dicatatkan bermula Februari hingga April tahun ini telah menyumbang kepada penyusutan paras air Sungai Kelantan serta mengganggu operasi pam di seluruh kawasan KADA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata, bagi membolehkan Rumah Pam Kemubu beroperasi sepenuhnya, Sungai Kelantan perlu mencapai aras air pada ketinggian 4.90 meter.

Bagaimanapun, KADA hanya merekodkan aras air sungai Kelantan terendah iaitu 2.19 meter pada minggu kedua April lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, OPA tersebut akan diselaras di antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Justeru, sebagai Pengerusi JPBP, saya telah meluluskan penggunaan dana Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) sebanyak RM5 juta bagi menjayakan OPA ini,” katanya.

Beliau berharap usaha tersebut dapat segera memberikan sumber air yang mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berhadapan cuaca panas dan kering, khususnya di Kelantan.

Selain itu, beliau juga berharap usaha bersepadu yang dilaksanakan dapat membantu meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan hujan dan seterusnya menjamin bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan.

Pada masa sama, Ahmad Zahid menyarankan pihak NADMA dan KPKM untuk melaporkan perincian hasil OPA itu pada 23 Jun ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini