Tumpuan :
Nasional

Kerajaan peruntuk RM5.96 bilion subsidi, kekalkan tarif elektrik

Foto hiasan

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan tiada kenaikan tarif elektrik akan berlaku di Semenanjung sehingga Jun 2025, meskipun terdapat semakan semula terhadap kadar tarif asas di bawah mekanisme Incentive Based Regulation (IBR).

Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kerajaan telah memperuntukkan subsidi sebanyak RM5.96 bilion bagi memastikan 85 peratus pengguna domestik terus dilindungi daripada kenaikan kos tenaga.

“Bermula pada tahun 2014, kerajaan telah menggunakan mekanisme Incentive Based Regulation (IBR) bagi penetapan purata tarif asas elektrik di Semenanjung.

“Melalui mekanisme IBR ini, purata tarif asas di Semenanjung akan dikaji setiap tiga tahun sekali berserta dengan penetapan parameter-parameter asas seperti unjuran harga bahan api, kos operasi (OPEX), kos modal (CAPEX) dan kadar keuntungan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dikawal selia oleh kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga (ST),” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, kenaikan harga bahan api global dalam tiga tahun kebelakangan ini menyebabkan unjuran tarif bagi tempoh 2025–2027 lebih tinggi, bagi mencerminkan kos sebenar penjanaan tenaga.

Bagaimanapun, kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk mengawal pelarasan tarif melalui mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) yang disemak setiap enam bulan.

Bagi memastikan kelangsungan industri dan perniagaan, sesi libat urus telah diadakan bersama pemegang taruh pada 13 Januari dan 5 Februari lalu.

Kerajaan memberi jaminan bahawa sebarang perubahan tarif akan mengambil kira kesejahteraan rakyat dan daya saing ekonomi negara.

“Selaras dengan penegasan oleh Perdana Menteri, sebarang kenaikan yang boleh membebankan rakyat adalah tidak dibenarkan sama sekali.

“Kementerian memberi jaminan bahawa penetapan tarif elektrik di semenanjung termasuk pelaksanaan jadual tarif yang baharu di bawah RP4 akan mengambil kira semua aspek termasuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Dalam hal ini, sebarang pengumuman berhubung penetapan tarif elektrik di Semenanjung hanya akan dikeluarkan secara rasmi oleh kerajaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini