KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri memperuntukkan sejumlah RM15.4 juta bagi projek bina baharu dan baik pulih rumah di Kelantan dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar di negeri berkenaan.
Ketua Pengarahnya Datuk Azman Ibrahim berkata peruntukan itu melibatkan RM9.6 juta bagi bantuan bina rumah baharu kepada 120 Ketua Isi Rumah (KIR) manakala RM5.8 juta lagi bagi bantuan baik pulih 240 rumah.
“Daripada peruntukan itu, sejumlah 175 projek baik pulih rumah dan 75 bina baharu rumah bagi golongan miskin tegar dan miskin peserta eKasih yang telah diluluskan di Kelantan.
“Setakat ini 144 rumah telah siap dibina dan dibaik pulih manakala bakinya akan disiapkan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Projek Bina Baharu Rumah Kasih Ihsan Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan di sini hari ini.
Beliau berkata program bina baharu dan baik pulih rumah itu merupakan satu daripada strategi untuk menoktahkan kemiskinan tegar dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Kelantan selaras dengan agenda Malaysia MADANI yang ingin menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.
Pada 2 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua bulan kepada agensi kerajaan Pusat dan negeri untuk menoktahkan miskin tegar di Kelantan.
Anwar dilapor berkata ketika ini terdapat kira-kira 1,000 orang yang tergolong dalam kumpulan miskin tegar.
Sementara itu, penerima terawal bantuan bina baharu rumah, Yahya Ismail, 46, berkata dia sangat bersyukur dengan bantuan berkenaan selepas lebih 20 tahun menumpang di rumah nenek isterinya.
Yahya yang merupakan peniaga otak-otak berkata rumah telah disiapkan pertengahan April lepas itu memberi keselesaan kepada dia sekeluarga untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik bersama empat anak.
“Saya tidak sangka permohonan yang dibuat hujung tahun lepas mendapat tindakan segera daripada kerajaan. Terima kasih atas keprihatinan ini, kini kami sudah ada rumah sendiri,” katanya.
Terdahulu Azman turut melakukan lawatan Kasih MADANI di empat rumah di Kampung Chenerai, Alor Pasir di Pasir Mas.
— BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.