Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan RM1.48 juta bagi misi Mencari dan Menyelamat (SAR) Malaysia Everest 2023 (ME 2023) Muhammad Hawari Hashim, 33, yang dilaporkan hilang di kawasan pergunungan Everest sejak Jumaat lalu.
Ketua Setiausaha KBS, K. Nagulendran berkata, misi ini sangat penting susulan penutupan Gunung Everest pada 29 Mei nanti berikutan cuaca buruk.
“Peruntukan ini dari Kementerian Kewangan dan disalurkan melalui kita dan kita akan bekerjasama dengan kelab (Kelab Eksplorasi Altitud) dan sudah pasti Wisma (Wisma Putra) membantu di lapangan.
“Saya dimaklumkan rakan daripada kelab, pergunungan Everest akan ditutup pada 29 Mei, jadi kita ada sampai 28, sebab 28 semua kena turun.
“Tempoh ini sangat kritikal, sangat penting, jadi kerajaan berpandangan sedangkan Saudara Hawari adalah seorang OKU, jadi kita kena buat bersungguh-sungguhlah,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen, hari ini.
Sebelum ini, Hawari dilaporkan hilang ketika menuju ke Kem 3 selepas berjaya menawan puncak Everest pada 18 Mei lalu.
Misi mencarinya akan diteruskan sehingga Ahad depan sebelum Everest tutup dan hanya akan dibuka untuk pendaki pada musim akan dating iaitu tahun hadapan.
Pengarah Pioneer Adventure, Nivesh Karki berkata, Hawari dilaporkan hilang pagi Jumaat selepas turun dan berehat di kem empat sebaik berjaya menawan puncak Everest pada 8,848 meter dari paras laut.