Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam urusan perundangan kearah pendigitalan institusi kehakiman.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang Dan Pembaharuan Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pendekatan itu mengambil contoh di negara China yang digunakan dalam Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) menggunakan sistem AI.
“Sekarang pengadilan digital kita hendak mula pada tahun hadapan, kita tidak boleh lari sebab kerajaan Malaysia nak masuk kearah digital.
“Apabila kearah digital itu maknanya semua aspek perundangan kita kena tengok dari aspek digital.” katanya selepas menghadiri Majlis Pelancaran Great Wall Of Alliance: Forum Timbang Tara Komersial Antarabangsa dan Penyelesaian Pertikaian di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), ibu negara, tadi.
Azalina berkata, kerajaan Malaysia tidak boleh lari kearah pendigitalan, kerana akses pengadilan juga perlu dilihat daripada aspek digital bagi memudahkan rakyat.
Beliau yang akan ke China minggu hadapan bagi urusan rasmi berkata, pihaknya akan melihat penggunaan sistem tersebut disana dan membuat kajian bagaimana ia dilaksanakan dalam membuat timbang tara antarabangsa.
Terdahulu dalam ucapannnya, Azalina berkata Malaysia bekerjasama dengan Suruhanjaya Timbang Tara Ekonomi dan Perdagangan Antarabangsa China, (CIETAC), komited dalam menegakkan strategik bebas mengejar pembangunan, menjaga keadilan dan mengekalkan kepercayaan serta rasa hormat bersama.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.