comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan pertimbang caruman KWSP industri kreatif

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

PETALING JAYA: Kerajaan sedia memperhalusi syarat mewajibkan penerima insentif Dana Kandungan Kreatif (DKK) dan Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada kakitangan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata bagaimanapun kerajaan perlu meneliti mekanisme terbaik untuk melaksanakan cadangan yang dilihat dapat menjaga kebajikan pekerja industri kreatif.

“Itu hasrat saya. Cuma kita perlu teliti dahulu bagaimana kita boleh terapkan elemen ini dalam insentif DKK dan FIMI.

“Kita akan teliti apa cara dan mekanisme yang terbaik untuk pastikan kebajikan pekerja mereka terjaga.

“Jadi, kita akan gerakkan jentera di bawah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk meningkatkan pemahaman dalam kalangan penerbit supaya mereka akan mencarumkan pekerja dalam projek mereka,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KWSP dan FINAS di Menara KWSP, Kwasa Damansara di sini, semalam.

Fahmi berkata, kerajaan terbuka menerima pandangan daripada pelbagai pihak, termasuk penerbit sebelum melaksanakan cadangan mewajibkan caruman KWSP kepada pekerja itu.

“Kita mesti ada persefahaman di mana secara asasnya, kebajikan pekerja ini terbela dan terjamin. Jadi, kita hendak terapkan perkara itu.

“Pada masa sama, saya lihat jika ada dalam kalangan penerbit yang ingin mengatur pertemuan dengan saya atau FINAS, kita galakkan, alu-alukan dan kita perlu bekerjasama.

“Saya juga akan minta FINAS berhubung dengan semua persatuan utama dan yang lain untuk meningkatkan pemahaman terhadap kepentingan menyimpan pada hari tua,” katanya.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada 70,000 pekerja industri kreatif khususnya bidang perfileman disasarkan mencarum dengan KWSP dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

Fahmi berkata, setakat ini seramai 3,925 penggiat seni mencarum dalam i-Saraan KWSP sejak 2010 membabitkan caruman sebanyak RM28.3 juta, Insentif Khas Kerajaan (RM1.4 juta) dan dalam bentuk simpanan KWSP (RM231.9 juta).

“Daripada jumlah pencarum itu. sebanyak 44 peratus atau 1,709 individu adalah lelaki dan 56 peratus wanita atau 2,216 orang,” katanya.

Fahmi berkata, keprihatinan kerajaan dalam menyokong pembangunan industri seni kreatif tempatan dizahirkan melalui pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2025, dengan peruntukan RM65 juta di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) bagi mempromosikan karya tempatan yang berteraskan semangat kenegaraan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini