comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Persekutuan sedia bantu Sarawak wujudkan ladang ternakan lembu sendiri

KUCHING: Kerajaan Persekutuan bersedia untuk membantu Sarawak mewujudkan atau menubuhkan ladang ternakannya sendiri jika diperlukan untuk berbuat demikian.

Timbalan Perdana Menteri,  Datuk Seri Fadillah Yusof berkata,  walaupun sektor pertanian dan penternakan ada yang di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan persekutuan namun itu bukan penghalang untuknya membantu dengan keperluan sektor terbabit.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, untuk mewujudkan ladang ternakan yang besar beberapa faktor perlu diberikan perhatian termasuk baka lembu, pemakanan dan tapak yang bersesuaian  untuk projek berkenaan.

“Di sini kalau kita hendak buat secara besar-besaran kita perlukan bukan sahaja dari segi teknologi tetapi juga kepakaran. Itu yang lebih utama,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Ibadah Korban di Masjid Darul Ibadah, Satok di sini.

Tambahnya kepakaran dan penggunaan teknologi terkini dalam sektor penternakan itu perlu dikuasai terlebih dahulu agar penghasilan ternakan yang optimun dapat dilakukan seterusnya berupaya membantu mengurangkan kebergantungan kepada import lembu dari luar negara.

Perkara itu katanya, sesuatu yang mampu dilaksanakan oleh Sarawak namum ia memerlukan masa dan perlaburan yang tinggi.

“Perkara ini memerlukan pelaburan yang besar di mana kita perlu membawa teknologi, kepakaran khususnya dalam aspek pemakanan, penjagaan dan baka yang diperlukan.

“Ini kerana kalau kita memiliki baka yang baik barulah ia dapat menghasilkan hasilan yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, Sarawak telah menyasarkan pengeluaran lembu sehingga 10,000 ekor menjelang 2030.

Jumlah itu bagi mengurangkan kebergantungan untuk mengimport lembu-lembu dari Australia dan Sabah seperti yang dilakukan ketika ini.

Loading...
Terkini