Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Persekutuan, Sarawak meterai permuafakatan perkukuh industri minyak dan gas

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pemeterian permuafakatan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak bagi memperkukuhkan industri petroleum dan gas negara, melalui kerjasama strategik antara Petronas dan syarikat minyak negeri Sarawak, Petroleum Sarawak (Petros).

Katanya, permuafakatan ini adalah selaras dengan semangat persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963, yang mengiktiraf Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974) sebagai akta persekutuan yang sah, serta menyokong hasrat Sarawak untuk mengembangkan industri minyak dan gasnya melalui Ordinan Pengagihan Gas (DGO).

“Petronas memenuhi mandat negara dengan pengurusan mantap sehingga terkenal sebagai di antara gergasi dalam industri petroleum dunia, malah muncul sebagai di antara penjana hasil utama belanjawan negara selama hampir setengah abad.

“Dan kini, dengan kemunculan syarikat minyak negeri iaitu Petroleum Sarawak (Petros), ada kewajaran untuk dimantapkan persefahaman dan kerjasama bagi memenuhi kerukunan di atas semangat persekutuan.

“Maka, adalah satu kewajaran dimeterai permuafakatan agar tatakelola dasar dan pengembangan industri petroleum dan gas terus semarak serta memenuhi mandat Akta PDA 1974 dengan mengambil kira peranan Petros selanjutnya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, perjanjian ini memberi jaminan kepada Petros untuk mendapatkan bekalan gas asli sebanyak 1.2 bilion kaki padu sehari, dengan tambahan berdasarkan keperluan masa hadapan.

Petros juga akan terus bekerjasama dengan Petronas dalam pelbagai aktiviti hiliran dan huluan yang memberi manfaat kepada negara dan negeri Sarawak.

Menurut Perdana Menteri, sepanjang tempoh 10 tahun yang lalu, Petronas telah menyumbang lebih daripada RM250 bilion dalam bentuk pelaburan huluan dan infrastruktur di Sarawak.

Lebih RM90 bilion telah dibelanjakan untuk kontrak dalam tempoh tersebut, termasuklah lebih daripada RM40 bilion untuk syarikat vendor Sarawak.

Beliau turut menekankan bahawa hasil daripada industri minyak dan gas ini telah memberi pulangan besar kepada Sarawak, dengan pembayaran tunai sebanyak RM49 bilion, cukai jualan RM18.66 bilion, dan dividen RM28.6 bilion setakat Disember 2024.

Pada masa sama, lebih RM600 juta telah diperuntukkan untuk pembangunan modal insan, dengan lebih 680,000 warga Sarawak mendapat manfaat dalam bentuk biasiswa dan program latihan.

“Sepanjang 10 tahun yang lalu lebih RM600 juta telah pun dibelanjakan untuk pelbagai usaha pendidikan dan pembangunan modal insan.

“Seramai 680,000 orang warga sarawak telah mendapat tajaan dalam bentuk biasiswa selain program latihan untuk warga pendidik dan 4,300 warga Sarawak mendapat peluang pekerjaan dalam Petronas.

“Hasil mahsul besar yang diraih selama ini oleh negara sehingga dapat kita jadikan dana Petronas sebagai dana utama di peringkat awal pembentukan negara dan juga pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara,” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini