KUALA NERUS: Sebanyak RM70 juta diluluskan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan projek pengawalan hakisan pantai di daerah Kuala Nerus.
Pengarah Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Hanizan Deraman berkata, proses kerja awalan termasuk penghantaran bahan binaan ke tapak projek sudah dilakukan kontraktor.
Katanya, kerja pembinaan struktur pemecah ombak dijangka dilakukan pada pertengahan bulan depan, manakala penambakan pasir akan dilakukan selewat-lewatnya Jun depan.
“Kita akan melakukan pembinaan 16 pemecah ombak luar pesisir bermula daripada Pantai Mengabang Pak Maras hingga ke Mengabang Besar.
“Kerja penambakan pasir daripada Pantai Telipot ke Sungai Gong Tuan Nit, sejauh kira-kira dua kilometer akan dilakukan selepas projek pembinaan 16 pemecah ombak luar pesisir siap dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini, bekas Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman meminta JPS menyegerakan projek pembinaan benteng pemecah ombak dan benteng hakisan ketika meninjau hakisan pantai Pangkalan Maras, Batu Rakit.
Bazlan dilaporkan berkata, projek itu perlu disegerakan berikutan lebih 100 kediaman, termasuk chalet dan kedai makan sepanjang pantai bermula daripada Tanjung Gelang ke Kampung Pagar Besi, Batu Rakit, terancam runtuh selepas berlakunya hakisan Selasa lalu.
Mengulas lanjut, Ir Hanizan berkata, projek pengawalan hakisan pantai di Kuala Nerus, termasuk di Pantai Telipot hingga ke Sungai Gong Tuan Kit dijangka siap sepenuhnya pada September 2026.
Mengenai projek pemuliharaan muara sungai di negeri ini, katanya, lima projek pemuliharaan sungai membabitkan peruntukan keseluruhan kira-kira RM636 juta sedang giat dilakukan.
Katanya, antara projek sedang giat dilakukan adalah projek pemuliharaan muara sungai Merchang membabitkan peruntukan sebanyak RM43 juta, Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu (RM150 juta).
“Tiga lagi projek yang sedang dalam pembinaan adalah menyiapkan baki kerja pemuliharaan sungai Besut membabitkan peruntukan lebih RM168 juta, projek pemuliharaan Sungai Ibai (RM24 juta) dan projek pemuliharaan muara Sungai Dungun membabitkan peruntukan berjumlah RM250 juta.
“Enam projek itu dijangka siap sepenuhnya antara tahun depan hingga tahun 2027,” katanya.
Hanizan menambah, dua lagi projek termasuk mencegah hakisan pantai Tok Jembal fasa dua membabitkan peruntukan lebih RM9 juta dan projek pemuliharaan muara sungai Paka membabitkan peruntukan RM150 juta siap sepenuhnya.