Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu mengetepikan fahaman politik dan bekerjasama menangani masalah banjir yang sering berlaku di Lembah Klang.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa sedih dan dukacita apabila rakyat terpaksa menanggung penderitaan dan trauma ekoran bencana yang berlaku.
“Sekiranya semua pihak masih lagi tidak serius dan sambil lewa dalam mendepani bencana banjir ini, bukan sahaja kerajaan akan terus menanggung kerugian, malah rakyat juga akan terbeban,”
“Dalam hal ini, Beta berharap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mengetepikan perbezaan fahaman politik dan dapat bekerjasama menangani masalah banjir di Lembah Klang supaya rakyat yang terlibat tidak menanggung penderitaan yang teruk dan trauma setiap kali berlaku musim hujan,” titah baginda.
Tuanku bertitah agar wakil rakyat tidak mengabaikan tugas dan menghabiskan masa berpolitik semata-mata.
“Beta tidak mahu wakil rakyat menghabiskan masa dengan berpolitik untuk kepentingan parti masing-masing sahaja sehingga mengabaikan tugas dan peranan mereka untuk membela nasib rakyat. Janganlah asyik berpolitik siang dan malam untuk kepentingan diri masing-masing,” titah Baginda.
Titah Baginda, sejak berlaku tragedi banjir besar di negeri Selangor pada tahun 1971, semua pihak telah belajar dan memperoleh teladan bagaimana untuk menyediakan pelan tindakan sebelum dan selepas banjir.
Baginda bertitah sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Selangor ke-14 hari ini.