Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerajaan Perpaduan tidak campur tangan siasatan skandal LCS

 

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan Perpaduan tidak campur tangan dalam siasatan pihak berkuasa berhubung skandal perolehan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan memberikan kebebasan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, pendakwa raya dan hakim untuk menyiasat skandal bernilai RM9 bilion itu.

“Ketika kami pembangkang, kita mahukan supaya siasatan selalu bebas dan tidak ada campur tangan. Itulah berlaku sekarang.

“Jadi orang ramai dan pihak media (perlu) faham bahawa seorang menteri tidak boleh campur tangan (walau) apa pun pandangan saya. Jika tidak, apa beza kami dengan kerajaan sebelum ini,” katanya yang ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bulanan bersama warga Kementerian Ekonomi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan projek LCS dan sama ada siasatan masih diteruskan meskipun projek berkenaan menunjukkan perkembangan yang positif.

Sementara itu, Rafizi berkata, kemampuan kerajaan membina lima LCS berbanding enam aset berkenaan seperti yang sepatutnya, adalah berita baik kepada TLDM.

“Saya terkejut sebenarnya lima kapal kerana saya ingat kita tidak mampu pun siapkan lima dengan segala yang telah berlaku dengan LCS. Hakikat bahawa kita komited dan boleh menyiapkan lima kapal, itu saya ingat berita yang baik kepada TLDM kerana keperluan kapal itu adalah sangat mendesak.

“Sebelum ini saya bimbang kalau daripada enam kapal, jadi tiga atau empat. Kalau lima kapal dapat diusahakan ia sudah tentu adalah satu perkara yang baik kepada TLDM kerana kita tidak menambah peruntukan,” katanya.

Semalam, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata di Dewan Rakyat, kerajaan tidak mengurangkan kos pembinaan LCS sebanyak RM9 bilion yang telah diluluskan sebelum ini, meskipun jumlah kapal dikurangkan kepada lima berbanding enam.

Katanya, keputusan itu diambil dengan mengambil kira pertambahan kos termasuklah kenaikan harga peralatan.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan, dengan kos keseluruhan sebanyak RM9 bilion.
Kontrak bagi projek itu bermula pada 2013 dan dijangka siap dalam masa 10 tahun.

Pada 4 Ogos tahun lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporan menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima, setakat ini.

Terdahulu dalam ucapannya di hadapan warga kementerian yang disiarkan secara langsung di laman Facebook kementerian, Rafizi berkata, pelaburan besar berhubung digital dalam negara akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Bukan sahaja pengumuman itu adalah berita baik kepada ekonomi negara tetapi ia perlu disambut dan dijadikan sebagai pemangkin untuk kita percepatkan segala perancangan yang ada dalam Rangka Kerja Ekonomi Digital Negara,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, hackathon kebangsaan akan dilancarkan bulan depan untuk mengarusperdanakan inovasi.

“Sebelum ini inovasi dilihat sebagai satu bahagian kecil, hanya untuk orang tertentu sahaja. Sedangkan untuk ekonomi berkembang maju, kita perlukan satu kumpulan yang boleh menyumbang dalam produk dan perkhidmatan yang berinovasi tinggi.

“Barulah ia boleh disambut dengan baik oleh segala bantuan dan juga sistem yang telah kita ada dalam sektor awam dan swasta,” katanya.

Loading...
Terkini