comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Perpaduan sentiasa utamakan Johor dalam agenda pembangunan – Onn Hafiz

Foto NSTP

MUAR: Kerajaan Johor hari ini menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana sentiasa mengutamakan negeri ini dalam segala perancangan pembangunan negara.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata perkara itu dibuktikan menerusi beberapa peruntukan untuk Johor dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, termasuk kerja naik taraf dan pelebaran jalan di lebuh raya utama di negeri ini.

“Johor bercita-cita tinggi mahu jadi maju dalam pelbagai bidang menjelang 2030, tidak mungkin perkara ini dapat dilaksanakan tanpa bantuan Datuk Seri (Anwar),” kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama jentera Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di sini.

Onn Hafiz berkata, komitmen Kerajaan Persekutuan untuk membantu Johor dapat dilihat apabila Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi meluluskan peruntukan RM60 juta bagi kerja-kerja pembaikan jalan di negeri ini berbanding jumlah dimohon RM23 juta.

Malah, katanya, kunjungan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing ke Johor semalam turut membawa khabar gembira apabila meluluskan peruntukan RM2 juta bagi kerja naik taraf Zoo Johor, zoo tertua di Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu turut melahirkan keyakinan bahawa sekiranya calon Pakatan Harapan (PH), Nazri Abdul Rahman menang di kerusi DUN Simpang Jeram pada Pilihan raya Negeri (PRN) 9 September depan, agenda pembangunan yang telah dirancang di kawasan itu dapat terus dilaksanakan.

“Saya yakin beliau akan jadi wakil rakyat terbaik mewakili semua bangsa dan agama. Orang Muar, orang Bakri kenal Nazri kerana beliau banyak berjasa di sini,” katanya.

PRK DUN Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu. – BERNAMA

Loading...
Terkini