Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Perpaduan masih kukuh dengan sokongan 148 Ahli Parlimen

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mempunyai sokongan majoriti daripada 148 Ahli Parlimen.

Menurut Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ia sekaligus menolak ‘khabar angin’ pimpinan pembangkang berjaya menggugat kerajaan sedia ada.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO, menyifatkan tindakan pembangkang menyebut angka tertentu bagi memberi bayangan mengenai gerakan menjatuhkan kerajaan, hanya bermotifkan cemburu.

Baginya kegagalan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sudah sedia maklum dan Kerajaan Perpaduan masih kukuh dengan 148 Ahli Parlimen menandatangani memorandum persefahaman (MoU).

“Yang paling penting ialah medan untuk berbincang dan perundingan (antara parti dalam Kerajaan Perpaduan) sentiasa berjalan, bukan setiap bulan tapi setiap minggu.”

“Contohnya untuk Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, kita adakan banyak siri mesyuarat dan bukan ‘one man show’ atau satu, dua parti mendominasi yang lain”, katanya kepada media di Menara Dato Onn, ibu negara.

Terdahulu beliau mengulas dakwaan pihak tertentu bahawa Kerajaan Perpaduan tergugat dan semakin hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen.

Loading...
Terkini