comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Perpaduan hormati keputusan pembangkang tolak draf MoU peruntukan pembangkang

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Kepimpinan Kerajaan Perpaduan menghormati keputusan penolakan draf memorandum persefahaman (MoU) Ahli Parlimen pembangkang daripada Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan beliau sendiri masih belum menerima sebarang permintaan untuk mengadakan rundingan baharu daripada PN selepas pendedahan isi kandungan memorandum terbabit.

Jawatankuasa majlis berkenaan bagaimanapun masih terbuka untuk menerima sebarang perbincangan atau cadangan daripada Ahli Parlimen PN berhubung draf berkenaan.

“Draf yang ada itu asas untuk kita berbincang jadi mereka (Ahli Parlimen pembangkang) kena kemukakanlah maklum balas mereka kepada Jawatankuasa Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan.

“Bagaimanapun mereka sudah pun membuat kenyataan yang mereka menolak, jadi bila mereka menolak maka kita terima penolakan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri International Social Security Management Conference 2024 di sini.

Pada 16 September lalu, Fadillah mendedahkan kandungan penuh draf MoU peruntukan kepada pembangkang yang ditolak ketuanya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pendedahan itu dibuat sehari selepas Hamzah mengumumkan keputusan mereka untuk tidak menerima draf MoU yang dikemukakan oleh Kerajaan Perpaduan.

Jelas Fadillah, tindakan mendedahkan butiran kandungan draf MoU itu dilakukan memandangkan pihak pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media.

Pada masa sama ia membuktikan ketelusan Kerajaan Madani dan mahu mewujudkan suasana aman dan harmoni supaya semua ahli parlimen lebih fokus kepada usaha pemulihan ekonomi, selain dapat memainkan peranan konstruktif sebagai semak dan imbang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini