Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Perpaduan formula terbaik kestabilan politik negara – Saifuddin Nasution

Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan adalah formula terbaik ke arah kestabilan politik dan seterusnya membawa kemakmuran ekonomi negara yang akan memelihara kehidupan rakyat.

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sejurus keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) memaparkan tiada parti memperoleh majoriti, pimpinan PH membuat ketetapan segera berunding dengan parti-parti lain.

Beliau yang baru dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, berkata menjadi pembangkang bukannya satu pilihan kepada PH, sebaliknya gabungan parti itu mesti menjadi kerajaan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Bermula dengan itu, saya diarah mengatur gerak mendekati watak-watak utama parti bukan PH, yang memenangi sejumlah kerusi untuk diajak ikut serta.

“Ternyata langkah yang diatur kali ini menjadi jauh lebih mudah, tatkala idea Kerajaan Perpaduan disyorkan tepat pada masanya oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Justeru, semalam lengkap sudah pembentukan anggota jemaah menteri. Kerajaan ini, Kerajaan Perpaduan dengan di dalamnya ada PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM),” katanya menerusi kenyataan di Facebook, pagi ini.

Kabinet Kerajaan Perpaduan di bawah kepemimpinan Anwar, yang selesai mengangkat sumpah semalam, mempunyai 28 menteri, lebih kecil berbanding pentadbiran terdahulu seramai 31 menteri Kabinet.

Selain itu, Kabinet Anwar turut mencatat sejarah apabila Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri I dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, manakala Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri II, merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi.

Saifuddin berkata, idea Kerajaan Perpaduan dikemukakan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti dengan semuanya bersetuju kecuali Perikatan Nasional (PN).

“Saya berbangga menjadi sebahagian watak yang turut sama menyumbang ke arah pembentukan Kerajaan Perpaduan ini,” katanya.

Namun katanya, berbeza pandangan ramai, usaha itu bukannya bermula pada tarikh keputusan PRU-15, tetapi lebih awal daripada itu.

“Kita sudah lama membaca perubahan lanskap politik negara yang tidak memungkinkan sebuah parti atau gabungan membentuk kerajaan sendiri.

“Semua parti atau gabungan adalah potensi rakan untuk diajak berunding. Saya bertuah kerana pandangan jauh Perdana Menteri (Anwar) yang ikut mendokong pendekatan ini. Pendekatan politik inklusif. Meramaikan kawan dan mengurangkan musuh.

“Saya diberi peluang dan peranan seluas-luasnya untuk membina rangkaian politik rentas parti selama aktif dalam PKR,” katanya.

Beliau menjelaskan, rangkaian politik merentasi parti itu berteraskan ‘percaya dan hormat’ atau ‘trust and respect’ yang bermula dengan PH sendiri.

“Hubungan sesama pimpinan sudah terjalin cukup akrab. Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng; Pemimpin utama DAP Perak, Nga Kor Ming, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim; Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo; Kula dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu; Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Pengarah Strategi AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

“Antara yang lain juga adalah Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa; Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad dan Pengarah Pilihanraya AMANAH, Dr Hatta Ramli, misalnya adalah rakan-rakan saya sejak puluhan tahun. Kami saling memahami gerak politik satu sama lain,” katanya.

Selain itu katanya, hubungan peribadi sekian lama dengan pimpinan BN khususnya UMNO, MIC dan MCA memudahkannya berunding dan berbincang.

“Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan adalah rakan dekat sejak puluhan tahun.

“Ia juga termasuk rakan dari Sarawak, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum; Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing; Ahli Parlimen Satok, Datuk Ibrahim Baki dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, antara beberapa nama amat mudah untuk diajak berbicara.

“Begitu juga dengan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Datuk Darell Leiking dan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor dari Sabah juga kalangan teman yang ikut mendokong,” katanya.

Namun katanya, beberapa pengajaran daripada pembentukan Kerajaan Perpaduan diperoleh iaitu, sentiasa mengamalkan pendekatan politik terbuka.

“Ini kerana politik adalah dinamik, justeru pendekatan politik juga harus fleksibel. Selain itu, hormat rakan dan lawan kerana kita tidak tahu bila kita akan saling memerlukan.”Tidak hanya itu dalam politik ini memerlukan kesabaran. Politik ini suatu maraton lambat mencapai destinasinya,” katanya.

Loading...
Terkini