Oleh: Fareez Azman
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempertimbangkan penggunaan Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPMS) dalam menangani isu kegagalan tayar atau tayar pecah terutama melibatkan kenderaan berat di negara ini.
Menurut Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Law Teik Hua, sistem amaran awal itu dilihat lebih berkesan dalam mengurangkan kemalangan akibat kegagalan tayar.
“Malaysia seharusnya mempertimbang untuk mewajibkan TPMS, untuk lori dan kenderaan berat. Ia dapat memberikan amaran awal kepada pemandu mengenai tekanan tayar yang rendah atau tidak normal, yang boleh mengelakkan kerosakan tayar atau kegagalan yang lebih serius,” jelasnya.
Selain mengurangkan risiko kemalangan, sistem itu juga dapat membantu pihak syarikat pengusaha memantau keadaan tayar kenderaan berat mereka.
“Sistem ini dapat meningkatkan keselamatan kenderaan berat dan mengurangkan risiko kemalangan yang disebabkan oleh masalah tayar.
“Selain itu, ia juga membantu dalam penjagaan tayar yang lebih baik, mengurangkan pembaziran bahan api, dan memperpanjang jangka hayat tayar,” katanya lagi.
Mengulas mengenai kemalangan membabitkan lima kenderaan yang meragut tujuh nyawa di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Simpang Ampat, Alor Gajah kelmarin, ujarnya penguatkuasaan had muatan lori di lebuhraya juga perlu diperketat.
Ia bagi memastikan tiada lori membawa muatan berlebihan dibenarkan menggunakan lebuh raya sekali gus meningkatkan risiko bahaya kepada pengguna lain.
“Penguatkuasaan had muatan lori yang ketat adalah sangat penting untuk keselamatan. Apabila lori membawa beban yang berlebihan, beban ini meningkatkan tekanan pada tayar dan gandar, yang boleh menyebabkan kerosakan lebih cepat dan meningkatkan risiko kemalangan.
“Beban berlebihan juga meningkatkan penggunaan bahan api dan boleh merosakkan struktur jalan raya. Penguatkuasaan yang lebih ketat dapat membantu mengurangkan risiko kemalangan yang disebabkan oleh kegagalan komponen-komponen ini,” katanya lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.