Tumpuan :
Nasional

Kerajaan perlu labur, tingkatkan alatan moden kepolisan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadiri Majlis Peluncuran dan Perasmian Pameran Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25).

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu melabur lebih banyak alatan moden untuk meningkatkan tahap kepolisan moden bagi mencegah jenayah siber.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau yakin perkara itu dapat mencegah jenayah secara lebih berkesan.

“Saya yakin modern policing tidak lagi harus dengan meramaikan kehadiran, ertinya mereka yang beruniform atau tidak beruniform berada di lokasi tertentu tetapi lebih kepada peralatan.

“Tindakan segera didalam memacu pencegahan dan penguatkuasaan hendaklah disingkatkan,” katanya ketika ditemui di Majlis Peluncuran dan Perasmian Pameran Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25).

Tambahnya, inisiatif itu turut dilaksanakan di negara-negara maju.

“Terdapat negara-negara maju yang mempunyai high definition CCTV yang dipasang di setiap 50 meter di kawasan-kawasan yang sensitif.

“Ini harus dilakukan, kerajaan harus melabur melalui modern policing ini di negara kita.

“Walaupun kita yakin dengan kemampuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga kerjasama Polis Asean (Aseanapol) untuk seluruh negara Asean, tetapi kita yakin bahawa penjenayah siber juga mempertingkatkan keupayaan mereka.

“Maka pihak penguatkuasaan mesti melebihi kemampuan berada di atas samada jenayah terancang atau individu ataupun apa jua pasukan,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Husain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini