Tumpuan :
Nasional

Kerajaan perkenal garis panduan penggunaan elektrik, air dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR: Kerajaan bakal memperkenalkan garis panduan berfokus bagi Keberkesanan Penggunaan Tenaga (PUE) dan Keberkesanan Penggunaan Air (WUE) dalam masa terdekat.

Ia seiring peningkatan pelaburan pusat data ke negara ini, bagi memastikan keterjaminan bekalan elektrik dan air dikawal serta digunakan secara efektif bersama penyediaan tenaga boleh baharu mencukupi bagi memudah cara pelaburan pusat data kecerdasan buatan (AI) di Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata garis panduan itu bertujuan meminimumkan jejak alam sekitar membabitkan pusat data sambil memaksimumkan kecekapan operasinya.

Selain itu, katanya, Skim Sokongan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) yang akan datang akan membolehkan Akses Pihak Ketiga (TPA) untuk tenaga boleh baharu, yang membolehkan syarikat mendapatkan tenaga bersih secara langsung daripada pengeluar tenaga.

“Ini akan terus mempromosikan penerimaan tenaga hijau untuk menyokong penyahkarbonan infrastruktur digital Malaysia. Minggu lalu, kerajaan juga melancarkan Rangka Kerja Dasar Ekonomi Pekeliling (CEPF) untuk sektor pembuatan.

“Ia akan memainkan peranan penting dalam memastikan industri-industri, termasuk pusat data mengamalkan pekeliling dengan mempromosikan penggunaan semula, kitar semula dan pembuatan semula bahan.

“Pendekatan ini selaras dengan matlamat kemampanan Malaysia yang lebih luas dan mengukuhkan kepimpinan kami dalam pertumbuhan hijau serta memenuhi komitmen kami di bawah Perjanjian Paris,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Mantap Malaysia Bersama AI oleh Google dan majlis pecah tanah pembinaan pusat datanya, di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat.

Tengku Zafrul berkata, pusat data Google akan menjadi penanda aras korporat baharu di Malaysia melalui PUE dan WUE serta melalui amalan terbaik ekonomi pekeliling kerajaan.

“Seperti yang telah dimaklumkan, program pengurusan air Google bertujuan memulihkan 120 peratus daripada air yang digunakan, bermula dengan pemulihan tasik di Taman Aman, Selangor.

“Juga penting untuk diperhatikan ialah komitmen kukuh Google terhadap tenaga bersih, dengan mengendalikan beberapa pusat data yang paling cekap tenaga di dunia.

“Malah, matlamat mereka untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2030 menunjukkan komitmen sebenar untuk memastikan teknologi tinggi juga boleh mesra alam bagi membentuk masa depan lebih hijau dan mampan,” katanya.

Katanya lagi, pusat data Google adalah sejajar dengan Rancangan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030).

“Di bawah NIMP 2030, kami berhasrat untuk mewujudkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030, dipacu oleh teknologi canggih seperti AI, data raya dan pembelajaran mesin,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini