Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kerajaan perkenal dua pelan hala tuju tenaga mampan separuh kedua 2023

 

Oleh : Syafiqah Damanhuri

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan dua pelan hala tuju baharu pada separuh kedua tahun ini bagi memastikan negara mencapai keselamatan tenaga yang mampan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dua pelan itu ialah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Pelan Hala Tuju Ekonomi dan Teknologi Hidrogen (HETR).

“Untuk pelaksanaan dasar ini dengan jayanya serta meraih manfaat sepenuhnya daripada kemajuan sosio-ekonomi yang baik untuk negara, kerajaan sedang membangunkan lagi beberapa pelan hala tuju strategik.”

“Paling penting ialah NETR bakal menggariskan strategi menyeluruh dan inisiatif berimpak tinggi untuk mempercepatkan usaha peralihan tenaga.

“Manakala, HETR akan membuka jalan kepada pencapaian keselamatan tenaga jangka panjang”, katanya ketika berucap di Persidangan Energy Asia 2023: Charting Pathways for a Sustainable Asia, di sini, hari ini.

Menurut Anwar, usaha itu bagi mencapai sasaran Sumbangan Nasional yang Ditentukan (NDC), dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Dasar Tenaga Negara 2021-2040 (NEP 2040).

Dokumen dasar itu katanya, secara strategik akan memeta arah ke hadapan dan menggariskan keutamaan bagi sektor tenaga pada masa akan datang serta meletakkan sektor itu sebagai pemangkin utama dalam pembangunan sosio ekonomi serta Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040.

Persidangan dianjurkan Petronas itu berlangsung bermula hari ini hingga Rabu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Mengangkat tema Membina laluan ke arah Asia Lestari, ia dijangka menarik lebih 2,000 delegasi dari seluruh dunia, termasuk pemimpin Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), Persatuan Pengeluar Minyak dan Gas Antarabangsa (IOGP) serta pegawai dan pemimpin pelbagai industri dan negara.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

Loading...
Terkini