PETALING JAYA: Kerajaan akan berusaha memelihara negara dan rakyat daripada terjerumus dalam kancah konflik perkauman sempit.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perkongsian di laman Facebook berkata, kerajaan juga akan meletakkan noktah terhadap usaha pihak yang menggunakan politik identiti untuk memecah-belahkan masyarakat.
“Kunci kepada perpaduan kaum yang kita kecapi selama ini adalah saling menghormati, yang menjadi salah satu unsur penting dalam membangunkan Malaysia MADANI,” menurut catatan itu.
Bersempena sambutan Hari Songkran, Anwar menyeru seluruh masyarakat keturunan Siam untuk bersama-sama rakyat negara ini yang lain bersatu hati serta berkongsi tujuan dan tekad, di samping mengekalkan perpaduan dan kerjasama bagi membangunkan negara.
“Dengan itu, kita akan sama-sama membawa Malaysia menuju sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera. Selamat menyambut Perayaan Songkran kepada seluruh masyarakat Siam di Malaysia,” katanya.
Terdapat 60,000 masyarakat berketurunan Siam di negara ini dengan sebilangan besarnya di Kedah dan Perlis.
Songkran yang terkenal sebagai festival air adalah sambutan Tahun Baharu Thailand dan disambut selama tiga hari bermula 13 April setiap tahun. – BERNAMA