comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan pastikan setiap mangsa banjir disantuni – Ahmad Zahid

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan mangsa banjir untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi penguat kuasa lain. – Foto fail

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memastikan kebajikan setiap mangsa banjir terus terpelihara dan tidak tercicir.

Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan mangsa banjir untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan agensi penguat kuasa lain.

“Walaupun saya kini berada di Manila (Filipina) saya terus melakukan pemantauan secara dekat (banjir) dengan semua pegawai terlibat untuk menentukan tiada seorang pun mangsa yang tertinggal, yang tidak disantuni,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berada di Manila sempena lawatan tiga hari antara lain bagi mewakili Malaysia pada Persidangan Menteri-Menteri Asia Pasifik Mengenai Pengurangan Risiko Bencana (APMCDRR).

Beliau turut mengulangi, Monsun Timur Laut (MTL) diramal bermula lebih awal iaitu penghujung bulan ini berbanding lazimnya pada awal November susulan perubahan iklim.

Justeru, jelasnya, NADMA dan agensi penguatkuasaan lain telah memobilisasikan jentera di peringkat daerah, negeri dan pusat ke lokasi banjir khususnya bagi menempatkan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Saya telah mengkoordinasikan aktiviti-aktiviti ini sejak beberapa ketika yang lalu,” katanya.

Sementara itu, ketika menyampaikan kenyataan negara di APMCDRR, Ahmad Zahid berkongsi kemajuan Malaysia dalam pengurangan risiko bencana (DRR) menerusi Sistem Ramalan Cuaca Berangka (NWP).

Menerusi sistem tersebut, ia membolehkan amaran dikeluarkan hingga tujuh hari lebih awal sebagai persediaan lebih tersusun mendepani bencana alam di bandar-bandar besar.

Menurutnya, sistem itu melengkapi Program Ramalan dan Amaran Banjir Kebangsaan yang menyediakan ramalan tepat bagi kemungkinan banjir melanda, merentasi 89 lembangan sungai utama.

“Strategi menyeluruh ini memberi impak yang ketara, mengurangkan kerugian kewangan akibat MTL daripada AS$220 juta pada tahun 2022 kepada AS$60 juta pada tahun 2023.

“Ini menunjukkan keberkesanan inisiatif Pengurangan Risiko Bencana (DRR) kami dalam melindungi nyawa dan sumber,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini