KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melakukan perubahan mendadak bagi memastikan setiap projek pelaburan dari luar negara dapat diluluskan dengan segera.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan perlu dilakukan memandangkan terdapat kebimbangan disuarakan berhubung projek-projek berkenaan.
”Yang Berhormat harus faham bahawa untuk pelaksanaan itu, kadangkala ada disuarakan kebimbangan. bila diluluskan, yang disebutkan ease of doing business itu kadang kadang masih ada masalah. Oleh itu, saya telah menetapkan supaya kita lakukan perubahan yang agak mendadak,” katanya.
Jelas beliau, perubahan itu bukan sahaja bagi pusat sehenti di Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri, (MITI), tetapi juga jawatankuasa pelaburan dan perdagangan di bawah menteri MITI dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri.
Tambahnya, perubahan itu bertujuan memastikan projek yang berkenaan diluluskan dengan kadar segera.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing yang meminta Perdana Menteri menyatakan hasil lawatan ke luar negara termasuk hasil pelaburan, kerjasama antara negara dan tahap keyakinan pelaburan asing terhadap Malaysia.