comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan pantau situasi di Asia Barat, akan ambil tindakan jika perlu

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Wisma Putra, hari ini.

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PUTRAJAYA: Tiada keperluan mendesak untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Asia Barat khususnya di Iran, Lubnan dan Jordan setakat ini.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata bagaimanapun kerajaan sentiasa memantau keadaan situasi dan perkembangan semasa, sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

“Setakat ini, tidak ada masalah yang mendesak untuk kita bawa balik (rakyat Malaysia) dari Jordan, Lubnan dan Iran, tapi kita sentiasa memantau keadaan di negara-negara tersebut.

“Jika Majlis Keselamatan Negara mengarahkan Wisma Putra dan kementerian-kementerian lain mengambil tindakan membawa pulang, kita bersedia untuk bersama-sama kementerian dan agensi-agensi lain,” katanya dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Wisma Putra, hari ini.

Ketika ini terdapat 38 rakyat Malaysia di Iran, di Jordan hampir 3000 rakyat Malaysia kebanyakannya pelajar, manakala di Lubnan pula terdapat kira-kira 800 rakyat Malaysia dengan majoritinya ialah tentera pengaman.

Iran melancarkan lebih daripada 300 peluru berpandu dan dron minggu lalu dalam serangan pertama Tehran ke atas wilayah Israel, Israel memberi amaran akan mengambil tindakan balas.

Iran membuat serangan itu selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas konsulat Iran di Damsyik dan membunuh tujuh Pengawal Revolusi pada 1 April lalu.

Tindakan balas Israel dilancarkan pada Jumaat, apabila media Iran melaporkan letupan berlaku di bahagian tengah wilayah Isfahan.

Tiga letupan dilaporkan berlaku berhampiran Qahjavarestan, dan lapangan terbang Isfahan serta pangkalan udara tentera Shekari kelapan.

Sementara Kumpulan pejuang Lubnan yang disokong Iran, Hizbullah menjatuhkan dron Israel yang sedang dalam misi tempur di selatan Lubnan, semalam.

Tentera Israel dan pejuang Hizbullah telah berbalas tembakan selama lebih enam bulan selari dengan perang Gaza, dalam permusuhan paling serius sejak mereka berperang pada tahun 2006.

Loading...
Terkini