ALOR GAJAH: Kerajaan sentiasa memantau perkembangan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang berada di selatan Lubnan setiap hari.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ia bagi memastikan keselamatan kesemua anggota menjadi keutamaan sepanjang masa walaupun masih tiada keputusan untuk membawa mereka pulang.
“Kita memang masih kekal di sana tetapi sebarang operasi telah diberhentikan demi keselamatan anggota pertahanan, dari semasa ke semasa kita juga terima laporan dan perkembangan mengenai mereka.
“Setakat ini kita masih kekal kerana bernaung di bawah payung Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), jadi apa-apa keputusan (yang akan dibuat) kita akan lihat segala keperluan untuk mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan Cek Sumbangan Parlimen Alor Gajah di Balairaya Taman Sri Siantan, Durian Tunggal di sini.
Sejak 23 September lepas, tentera Israel melancarkan serangan udara intensif yang belum pernah berlaku ke atas Lubnan. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.