Tumpuan :
Nasional

Kerajaan pantau pelaksanaan projek tebatan banjir di Sabah, Sarawak

FOTO FB ZAHID HAMIDI

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan akan memantau pelaksanaan projek tebatan banjir yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) khususnya di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemantauan itu adalah bagi memastikan tiada sebarang kelewatan sehingga menjejaskan usaha mengurangkan impak banjir.

Katanya, pihaknya menitikberatkan isu berkenaan dan komited memastikan setiap projek tebatan banjir dilaksanakan dengan cekap, berkesan serta mengikut jadual yang ditetapkan.

“Di Sabah, sebanyak 14 projek rancangan tebatan banjir akan dilaksanakan. Dua projek tebatan banjir siap dan dalam tempoh liabiliti kecacatan, 10 projek sedang dalam pembinaan dan dua projek dalam fasa pra pelaksanaan.

“Di Sarawak pula, 10 projek tebatan banjir dirancang dan dua daripadanya siap dibina dan masih dalam tempoh liabiliti kecacatan.

“Dua projek sedang dalam pembinaan dan enam projek adalah adalah fasa pra pelaksanaan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pengurusan Bencana Negara Bilangan 1 Tahun 2025 di Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, di sini, hari ini.

Mesyuarat terbabit menumpukan perbincangan berkaitan isu dan penyelesaian situasi bencana banjir di Sabah dan Sarawak yang terkesan sejak Januari lalu.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, di Sabah, dua episod banjir berlaku pada 17 hingga 20 Januari membabitkan tiga daerah, manakala episod kedua pula berlaku pada 27 Januari hingga 16 Februari membabitkan 14 daerah.

Menurutnya, Sarawak pula menganggarkan sebanyak 1,335 projek infrastruktur awam rosak dan memerlukan pembaikan dan penyelenggaraan segera kesan daripada banjir.

“Sebagai langkah segera, mesyuarat meluluskan pembinaan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di Long Busang di Belaga, Sarawak.

“Bagi PPKB di kawasan lain, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Setakat ini hanya ada satu saja PPKB dibina di Johor iaitu di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini