Tumpuan :
Nasional

Kerajaan pantau had umur pengguna media sosial bermula Jan 2025

Oleh: Kumaran Rajamoney

IPOH: Malaysia belum bercadang mengadakan akta khusus had umur bagi melarang individu berusia 16 tahun dan ke bawah menggunakan media sosial, seperti yang dilakukan Australia.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, bermula Januari, kerajaan bagaimanapun akan menumpukan kepada had umur menerusi proses perlesenan kepada penyedia platform media sosial dengan lebih lapan juta pengguna.

“Semua platform waktu ini tentukan bawah 13 tahun tidak boleh buka akaun media sosial. Kita akan lihat bagaimana mereka kuatkuasakan had larangan had umur itu berdasarkan apa yang mereka sendiri sudah tetapkan.”

“Kita akan pertimbang langkah-langkah tambahan sekiranya mereka gagal, atau maklumbalas yang diberikan tidak memberangsangkan,” katanya.

Tambah beliau, langkah perlesenan berada pada fasa akhir dengan perbincangan bersama penyedia platform tertumpu kepada isu teknikal.

“Ada beberapa platform yang meminta penjelasan tentang satu dua perkara. Ada yang sedang menyediakan dokumentasi perundangan. Saya telah meminta supaya kesemua dihubungi dan memberikan maklumbalas pada hari ini bagi memastikan platform-platform ini berdaftar.”

“Ada laporan mengenai jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan pedofilia yang berleluasa di beberapa platform. Kita tak nak masalah ini berlarutan,” tegasnya.

Fahmi berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dengan Digital Perak Corporation Holdings (DPCH) bersempana Perak Ecomonic Outlook 2024 di sini, hari ini.

MoU itu bagi mengukuhkan kolaborasi strategik yang bertujuan untuk mempercepatkan pendigitalan Perak dan inisiatif Bandar Pintar untuk mencapai aspirasi Smart Perak.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini