comscore
Tumpuan :
Nasional

Siasatan 4 bekas Ahli Parlimen Bangladesh berkaitan sindiket pekerja asing dipandang serius – KDN

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Kerajaan memandang serius siasatan dijalankan Agensi Antirasuah Bangladesh ke atas empat bekas Ahli Parlimennya yang didakwa mendalangi sindiket penipuan pekerjaan dengan nilai anggaran 24,000 crore taka Bangladesh (RM8.9 bilion).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya ambil maklum pendedahan berkenaan dan akan meminta agensi berkaitan memberikan laporan lengkap bermula dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara itu.

“Kemudian tentunya saya akan berhubung dengan Kementerian Sumber Manusia juga kerana pemberian kouta itu dikeluarkan olehnya. Saya juga akan berurusan dengan agensi di bawah kami terutamanya Jabatan Imigresen kerana pengurusan pengeluaran visa itu adalah dibawah kawal selia kami,” katanya selepas menghadiri majlis PDRM Special Dialogue II 2024 yang berlangsung di ibu negara.

Jelas beliau di suatu sisi dasar negara membenarkan pengambilan pekerja asing bagi memenuhi lima sektor kritikal, di mana tanpanya ia akan menjejaskan ekonomi negara.

Bagaimanapun katanya dalam proses membawa masuk tenaga kerja berkenaan perkara sebegini dilaporkan berlaku.

“Sudah tentu sebagai kementerian yang mempengerusikan bersama dengan Kementerian Sumber Manusia berkenaan dengan urusan pekerja asing berita tangkapan itu adalah perkara yang kami perlu beri perhatian,” tambahnya.

Dhaka Tribune memetik sumber sebagai berkata sindiket itu, melibatkan bekas Menteri Kewangan, Mustafa Kamal, bekas Ahli Parlimen, Nizam Uddin Hazari, Benazir Ahmed dan Jeneral Bersara Masud Uddin Chowdhurry.

Laporan itu mendedahkan, sindiket berkenaan telah menghantar 450,000 pekerja ke luar negara termasuk Malaysia dalam tempoh satu tahun.

Bagaimanapun, ramai dalam kalangan pekerja berkenaan tidak dapat mencari peluang pekerjaan dan pulang dengan tangan kosong.

Laporan itu juga mendakwa bahawa sindiket terbabit beroperasi dengan sokongan pegawai kanan dari kedua-dua kerajaan Bangladesh dan Malaysia.

Difahamkan, pekerja dicaj jauh melebihi kos yang ditetapkan kerajaan iaitu 79,000 taka Bangladesh (kira-kira RM2,940), dengan purata pekerja membayar 544,000 taka Bangladesh (kira-kira RM20,280) untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini