Oleh: Hilmi Abdul Malik
NILAI: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengusahakan tapak sementara perniagaan susulan kebakaran melibatkan sebuah gudang karpet di Nilai 3 hari ini.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya telah mengarahkan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) untuk melihat tapak yang bersesuaian.
“Ada permintaan daripada pemilik premis untuk dia dibantu dapatkan tempat menjalankan perniagaan sempena Ramadan.
“Dia sementara sahaja (tapak) dalam sebulan dua sahaja. Saya minta supaya MPS untuk lihat kesesuaian tapakuntuk digunakan oleh mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir melakukan tinjauan di lokasi kebakaran hari ini.
Dalam pada itu, beliau dimaklumkan bahawa operasi pihak bomba akan berakhir selewat-lewatnya esok.
Ini berikutan faktor asap yang masih menebal dan dibimbangi mengundang risiko kepada pencemaran udara.
“Paling lambat esok, Insya-Allah kita doa angin tak terlalu kuat kerana faktor cuaca ini juga penting,” ujarnya lagi.

Setakat ini, operasi pihak bomba yang telah berlangsung lebih lapan jam masih lagi berjalan dengan tertumpu kepada pemadaman sisa kebakaran kecil.
Bagaimanapun, keadaan semasa di lokasi kebakaran ketika ini masih dipenuhi asap tebal membabitkan kawasan tertentu.
Terdahulu, gudang karpet berkeluasan 700 kaki X 500 kaki persegi itu dilaporkan terbakar dalam kejadian sekitar jam 8 pagi hari ini.
Api yang begitu marak menyebabkan kepulan asap dapat dilihat dari jauh, malah turut dirakam penduduk di sekitar daerah ini.
Setakat ini punca kebakaran masih belum dapat dikenal pasti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.