comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerajaan Negeri Pulau Pinang: ADUN PKR, DAP kekal TKM 1 & 2, BN dapat 1 Exco

Oleh : Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Prof. Dr Mohamad Abdul Hamid dari PKR dan ADUN Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo mewakili DAP masing-masing dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 dan Timbalan Ketua Menteri 2 dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Mereka antara 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Pulau Pinang yang mengangkat sumpah di hadapan Yang Di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Dewan Seri Pinang di sini jam 10.30 pagi tadi.

DAP yang memenangi kesemua 19 kerusi DUN ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu diperuntukkan tujuh Exco.

Manakala PKR menang tujuh kerusi mengisi dua jawatan Exco dan Barisan Nasional (BN) yang menawan dua kerusi diberikan satu Exco.

DAP diwakili Jagdeep (Datuk Keramat), Zairil Khir Johari (Tanjung Bungah), Wong Hon Wai (Paya Terubong), Liew Siew Khim (Sungai Pinang), Daniel Gooi Zi Sen (Padang Lalang), Datuk Seri Sundarajoo Somu (Perai) dan Jason Hng Mooi Lai (Jawi).

Selain Prof Dr Mohamad Abdul Hamid, PKR diwakili ADUN Pantai Jerejak, Fahmi Zainol.

ADUN BN Sungai Acheh, Rashidi Zinol yang menang tipis dengan 124 undi merupakan nama yang tidak dijangka dalam barisan Exco.

Lantikan itu menamatkan spekulasi bahawa Bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang merampas kembali DUN Bertam dari Perikatan Nasional merupakan pilihan utama untuk mengisi jawatan Exco.

Mohamad Abdul Hamid, Fahmi, Sundarajoo dan Rashidi merupakan ADUN penggal pertama yang dilantik ke jawatan Exco.

ADUN Padang Kota, Chow Kon Yeow telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri buat penggal kedua pada Ahad lepas.

Selain Chow, hanya Jagdeep, Zairil dan Wong pernah menganggotai barisan Exco, manakala tujuh yang lain merupakan lantikan pertama.

Turut mencuri tumpuan, buat pertama kali kaum India kini diwakili dua Exco menerusi Jagdeep dan Sundarajoo.

Sebelum ini, bekas Timbalan Ketua Menteri 2, Dr P Ramasamy yang keluar DAP dua hari sebelum PRN merupakan Exco tunggal mewakili komunit terbabit sejak tahun 2008.

Berikut adalah senarai Portfolio Exco Pulau Pinang :

Chow Kon Yeow (Ketua Menteri-DAP)
Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi

Prof Dr Mohamad Abdul Hamid (TKM1-PKR)
Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat

Jagdeep Singh Deo (TKM2-DAP)
Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi

Rashidi Zinol (BN-Sungai Acheh)
Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar

Zairil Khir Johari (DAP-Tanjung Bungah)
Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital

Wong Hon Wai (DAP-Paya Terubong)
Pelancongan dan Ekonomi Kreatif

Liew Siew Khim (DAP-Sungai Pinang)
Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam

Jason H’ng Moon Lye (DAP-Datuk Keramat)
Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa

Danial Goo Zi Sen (DAP-Padang Lalang)
Belia, Sukan dan Kesihatan

Datuk Seri Sundarajoo Somu (DAP-Perai)
Perumahan dan Alam Sekitar

Fahmi Zainol (PKR-Pantai Jerejak)
Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi

Loading...
Terkini